"Aku tak pernah tinggal solat lima waktu walaupun aku tahu aku tidak menutup aurat dengan sempurna. Setiap amalan kita hanya Allah sahaja yang dapat menilai; bukan engkau, bukan ustaz," tutur kawan saya sewaktu menikmati makan tengahari bersamanya.
Pantas saya mengangkat muka. Nasi di tangan tidak jadi disuap ke mulut. Saya jangkakan ada sesuatu yang menarik yang hendak dikongsikan. Lantas saya bertanya, "Apa yang membuatkan engkau berkata begitu?"
"Bukan apa. Aku cuma merasakan tidak adil untuk seseorang itu menghukum orang lain hanya kerana dia menutup aurat dengan sempurna sedangkan orang yang dihukumi pula tidak. Kau tidak merasakan begitu?" dia bertanya pada saya pula.
"Jadi pada pendapat kau, adil tu macam mana pula?" Saya meluncurkan pertanyaan. Sebetulnya saya sendiri pun tidak pasti apa jawapan yang patut saya berikan jika saya ditanya begitu.
"Maksud aku, dia cuba menghukum orang yang macam aku tetapi dia menutup mata pada orang yang melakukan maksiat hanya kerana mereka menutup aurat dengan sempurna. Faham?"
Saya mengangguk-anggukkan kepala. Mengikut perkiraan saya, mungkin apa yang dimaksudkan ialah gejala maksiat yang berleluasa dalam kalangan orang yang menutup aurat.
Kawan di hadapan saya ini seorang perempuan biasa. Tidak lahir dalam keluarga yang beragama, ayahnya bukan siak masjid, ibunya juga bukanlah ustazah apatah lagi kedua ibu bapanya sudah lama meninggal dunia. Tapi pemikirannya agak luas dan tidak terperosok ke dalam lembah kejumudan. Itu yang saya suka pada dirinya. Hari ini dia memulakan topik aurat dan saya begitu teruja untuk berdiskusi bersamanya.
Tanpa semena-mena saya nampak matanya mula berkaca. Ada air mata di pelupuk matanya.
"Kau tahu, selama ini aku tak henti-henti berdoa supaya Allah bukakan pintu hati aku untuk taat kepadaNya. Aku nak tutup aurat dengan sempurna. Aku tak mahu membebankan dosa ayahku di akhirat kelak gara-gara sikapku. Aku perlukan bimbingan tetapi aku hanya mendapat cemuhan," katanya sayu.
Saya menundukkan kepala. Terasa sayu mendengar luahan hatinya. Aku sendiri tidak tahu bagaimana harus aku memujuknya. Lama aku terdiam. Sebelum sempat aku berkata-kata, dia terlebih dahulu bersuara
"Tak mengapa kalau kau tidak mampu berkata apa-apa. Aku cuma mahukan orang mendengar luahan hatiku."
Saya hanya mampu mengetap bibir..,
No comments:
Post a Comment