Di hadapan saya kini terbaring seorang perempuan yang pernah menjadi kawan baik saya. Wayar-wayar berselirat di lengannya. Saya masih ingat sewaktu saya di tahun pertama, dia selalu mengirim e-mel kepada saya. Jika ada masa terluang, kami pasti berbual di Skype. Masuk tahun berikutnya, banyak tugasan harus disiapkan dan saya tidak mempunyai masa untuk berbual dengannya. Saya mengesat air mata yang tumpah di pipi. Saya duduk di sebelahnya dan menggenggam erat jemarinya.
"Saya datang," perlahan saya membisikkan di telinganya. Saya yakin dia pasti dapat mendengarnya. Perlahan-lahan dia membuka matanya. Dia tersenyum memandang saya. Itulah keistimewaan dirinya, sentiasa tersenyum meskipun dalam keadaan sakit begitu.
"Aku dah tutup aurat dengan sempurna," katanya perlahan. Ternyata dia masih ingat butir perbualan kami lima tahun dahulu. Saya tersenyum.
"Alhamdulillah," ucap saya ringkas.
"Rehatlah," saya menyambung.
Dia menggeleng-geleng.
"Ayat Allah begitu sempurna dan syahdu," secara tiba-tiba dia bersuara.
Dahiku berkerut tidak memahami apa yang hendak disampaikan. Dia menyambung lagi, "Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik."
Air mata saya bergenang mendengar ayat tersebut. Ayat tersebut merupakan ayat ke 16 dalam surah Al-Hadid. Ayat itu jugalah yang membuatkan seorang ulama bernama Malik Bin Dinar bertaubat dan menyesali segala perbuatannya.
"Kau tahu, ayat ini muncul dalam mimpiku beberapa tahun lepas. Waktu itu malam terakhir Ramadhan, aku berdoa bersungguh-sungguh supaya Allah berkenan untuk membuka hatiku. Betapa berkuasanya Allah, hanya sepotong ayat mampu menyedarkan aku," katanya sambil mengesat air mata.
"Sememangnya Dia lah yang paling berkuasa ke atas semua makhlukNya," ringkas saya menjawab.
"Dahulu aku dicemuh kerana aku tidak menutup aurat dengan sempurna, tetapi lihatlah. Allah mengubah aku dengan sekelip mata dan hanya dengan sepotong ayat. Dan kadang-kadang aku terfikir, bagaimana ada manusia tergamak untuk mencemuh dan menghukum orang lain hanya kerana mereka berbuat dosa?
Bukankah setiap manusia itu pendosa? Semakin aku berubah, semakin aku bersimpati kepada mereka yang seperti aku suatu ketika dahulu. Mereka selayaknya didampingi bukannya dicemuh."
Saya menelan air liur. Terasa pahit. Mungkin kerana kebenaran itu pahit? Mungkin?
"Walau sejahat dan sezalim mana pun kita, yang memberi hidayah hanyalah Allah, bukannya orang lain. Dan saya bersyukur kerana Allah memilih saya."
Dia menghembus nafas lega. Daripada riak wajahnya, dia seakan-akan puas kerana dapat meluahkan segala yang terbuku di hati kepada saya, sahabat baiknya.
Sahabat saya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir tiga hari kemudian. Berada di sisinya ketika itu ialah suami, dua orang anaknya yang masih kecil serta saya sendiri. Anak-anaknya saya lihat bertudung litup, mungkin mengikut jejak ibunya. Segala puji bagi Allah.